Ketika saya membeli cincin pertunangan, saya menghabiskan masa berjam-jam untuk mencari berlian yang benar-benar sesuai. Namun saya diganggu oleh kebimbangan ini, Apa akan terjadi jika saya terlepas yang terbaik?
Menurut ahli psikologi ekonomi, Barry Schwartz, keadaan “kronik” saya yang tidak dapat membuat keputusan menunjukkan bahawa saya merupakan apa yang digelarnya sebagai “pemaksimum” (maximizer), berbanding dengan “pemuas hati” (satisficer). Pemuas hati membuat pilihan berdasarkan sama ada sesuatu itu memadai untuk keperluan mereka. Pemaksimum pula perlu senantiasa membuat pilihan yang terbaik (Saya mengaku inilah saya!). Apakah kesan yang mungkin timbul daripada kesukaran untuk membuat keputusan disebabkan banyak pilihan? Kekhuatiran, kemurungan dan ketidakpuasan hati. Sebenarnya, ahli sosiologi telah mencipta frasa lain bagi fenomena ini: takut terlepas.
Sudah tentu kita tidak menemukan perkataan pemaksimum atau pemuas hati dalam Alkitab. Bagaimanapun, kita dapat menemukan idea yang serupa. Dalam 1 Timotius, Paulus mencabar Timotius mencari nilai dalam Tuhan dan bukannya perkara-perkara duniawi. Pencapaian yang dijanjikan dunia ini tidak dapat ditunaikan sepenuhnya. Sebaliknya, Paulus mengingatkan Timotius bahawa identitinya harus berakar umbi dalam Tuhan: “Agama memang menyebabkan orang menjadi kaya, jika orang puas dengan apa yang dimiliki” (6:6). Seakan-akan Paulus adalah seorang yang mudah berasa puas hati ketika dia menambah, “Oleh itu, cukuplah jika kita mempunyai pakaian dan makanan” (ayat 8).
Ketika saya terlalu menumpukan pilihan yang tidak terkira banyaknya di dunia ini malah yang menjanjikan kepuasan, biasanya saya menjadi resah dan tidak puas hati. Akan tetapi, ketika saya berfokuskan Tuhan dan melepaskan keinginan yang kuat untuk menjadi pemaksimum, jiwaku mengalami kepuasan dan ketenangan yang sejati.