Seorang pegawai polis di Atlanta bertanya kepada seorang pemandu sama ada dia tahu sebab dia disuruh berhenti. “Tak tahu!” katanya kebingungan. “Puan menghantar mesej ketika memandu,” kata pegawai polis itu dengan lembut. “Tak ada, tak ada!” dia membantah sambil mengangkat telefon pintarnya sebagai bukti. “Aku cuma mengirim e-mel.”

Penghantaran e-mel melalui telefon pintar tidak memberi kita jalan keluar daripada undang-undang yang melarang pemandu menghantar mesej sambil memandu! Tujuan undang-undang bukanlah melarang penghantaran mesej, tetapi untuk menghalang gangguan semasa memandu.

Yesus menuduh para ketua agama pada zaman-Nya mencari jalan keluar yang jauh lebih dahsyat. “Cerdik sekali cara kamu menolak perintah Allah untuk mempertahankan ajaran kamu sendiri,” kata-Nya dengan memetik perintah “Hormatilah ibu bapamu” sebagai bukti (Markus 7:9–10). Dengan berpura-pura taat setia beribadat, para pemimpin yang kaya ini mengabaikan keluarga mereka. Mereka sesukanya mengisytiharkan wang mereka sudah “dipersembahkan kepada Tuhan” dan tidak lagi perlu menyara ibu atau bapa pada masa tua mereka. Dengan segera Yesus mengenal pasti inti masalah tersebut. “Dengan jalan ini ajaran yang kamu sampaikan kepada orang lain, meniadakan firman Allah,” kata-Nya (ayat 13). Mereka bukan sahaja tidak menghormati Tuhan, mereka juga mengaibkan orang tua mereka.

Tindakan yang cuba mewajarkan atau mempertahankan perbuatan kita (rasoinalisasi) boleh menjadi sangat licik. Dengan menggunakannya, kita mengelakkan tanggungjawab, mencari alasan untuk meneruskan perangai yang mementingkan diri, dan mengetepikan perintah langsung Tuhan. Jika kita berbuat demikian, maka kita cuma menipu diri sendiri. Yesus menawarkan kita peluang untuk mengubah sikap kita yang cenderung mementingkan diri dengan hidup dikuasai Roh Kudus agar mentaati perintah Bapa-Nya yang indah.