Guy Bryant seorang bujang, tidak mempunyai anak sendiri dan bekerja di Jabatan Kebajikan Kanak-Kanak di bandar raya New York. Setiap hari dia berhadapan dengan keperluan yang mendesak bagi mendapatkan ibu bapa angkat, lalu dia memutuskan untuk melakukan sesuatu tentangnya. Selama lebih daripada 10 tahun, Bryant telah mengasuh lebih daripada 50 orang anak, bahkan dia pernah menjaga 9 orang anak pada masa yang sama. “Setiap kali saya menoleh ke belakang, ada sahaja kanak-kanak yang memerlukan tempat tinggal,” jelas Bryant. “Jika anda mempunyai ruang di rumah dan dalam hati anda, lakukannya sahaja. Anda tidak perlu terlalu memikirkannya.” Anak-anak angkat yang telah menjadi dewasa dan membina hidup mereka sendiri masih mempunyai kunci pangsapuri Bryant dan sering kali pulang pada hari Ahad untuk makan tengah hari dengan “Abah”. Bryant telah menunjukkan kasih bapa kepada ramai anak.
Alkitab memberitahu kita bahawa Tuhan mencari semua orang yang dilupakan atau diketepikan. Walaupun sesetengah orang percaya akan mendapati diri mereka melarat dan teraniaya dalam hidup ini, Dia berjanji untuk bersama dengan mereka. Tuhan “memelihara anak yatim” (Mazmur 68:6). Jika kita keseorangan kerana terabai atau mengalami tragedi, Tuhan masih ada, menjangkau kita, mendekati kita, dan memberi kita harapan. Sesungguhnya, “Dia memberikan keluarga kepada yang tidak ada saudara-mara” (ayat 7). Dalam Yesus, orang percaya yang lain merupakan anggota keluarga rohani kita.
Tidak kira apa pun kisah sedih keluarga kita, atau kita dipulaukan, diabaikan, malah betapa buruknya hubungan kita dengan orang lain, kita boleh mengetahui bahawa kita dikasihi. Bersama-sama Tuhan, kita tidak lagi tiada bapa.