Buddy berumur tiga tahun dan ibunya pergi ke gereja setiap minggu untuk memunggah barang-barang dapur dari trak pelayanan makanan. Apabila Buddy terdengar ibunya memberitahu neneknya bahawa trak penghantaran telah rosak, dia berkata, “Oh, tidak. Jadi bagaimanakah mereka boleh memberi makanan?” Ibunya menjelaskan bahawa pihak gereja perlu mengumpulkan wang untuk membeli trak baharu. Buddy tersenyum. “Aku ada wang,” katanya sambil meninggalkan bilik itu. Dia kembali dengan sebuah balang plastik yang dihiasi dengan pelekat berwarna-warni dan dipenuhi duit syiling, yang berjumlah lebih kurang $38 dolar AS. Walaupun Buddy tidak ada wang yang banyak, Tuhan menggabungkan persembahannya dan pemberian orang lain untuk mendapatkan sebuah trak muatan sejuk yang baharu, supaya pihak gereja dapat terus melayani komuniti mereka.
Sejumlah pemberian kecil yang ditawarkan dengan murah hati selalunya lebih daripada cukup apabila diletakkan di dalam tangan Tuhan. Dalam 2 Raja-Raja 4, seorang balu miskin meminta bantuan kewangan daripada nabi Elisa. Nabi Elisa memberitahu balu itu mengumpulkan semua barang yang dimilikinya, pergi kepada jirannya untuk meminta bantuan, dan kemudian menuruti perintahnya (ayat 1-4). Tuhan seterusnya menunjukkan persediaan-Nya yang ajaib—menggunakan minyak si balu yang sedikit dan mengisi semua bejana yang dikumpulkannya daripada jiran-jirannya (ayat 5-6). Elisa memberitahunya, “Juallah minyak zaitun itu dan bayarlah semua hutang puan, dan wang selebihnya untuk nafkah hidup sehari-hari bagi puan dan anak-anak puan” (ayat 7).
Apabila kita berfokus kepada apa yang kita tidak miliki, kita kemungkinan akan terlepas untuk menyaksikan perbuatan hebat Tuhan dengan apa yang kita ada.