Ketika kapal angkasa modul Apollo 11 Eagle mendarat di Sea of Tranquility (Laut Tenteram) di bulan pada 20 Julai 1969, para pengembara angkasa itu mengambil masa untuk pulih daripada penerbangan jauh mereka sebelum melangkah ke permukaan bulan. Angkasawan Buzz Aldrin telah mendapat izin untuk membawa roti dan wain supaya dia dapat mengambil Perjamuan Tuhan. Selepas membaca Alkitab, dia menikmati makanan pertama di bulan. Kemudian dia menulis: “Saya menuangkan wain ke cawan yang telah diberikan oleh gereja kami. Di bawah graviti 1/6 di bulan, dengan perlahan wain mengalir di tepi cawan.” Ketika Aldrin menikmati perjamuan cakerawala ini, tindakannya mengisytiharkan kepercayaannya tentang pengorbanan Kristus pada kayu salib dan jaminan kedatangan-Nya yang kedua kali.
Rasul Paulus mendorong kita mengingat bagaimana Yesus duduk bersama-sama para pengikut-Nya “pada malam itu ketika Tuhan Yesus dikhianati” (1 Korintus 11:23). Kristus membandingkan tubuh-Nya dengan roti yang akan segera dikorbankan (ayat 24). Dia menyatakan wain sebagai simbol “perjanjian baru” yang menjamin pengampunan dan penyelamatan kita melalui darah-Nya yang ditumpahkan pada kayu salib (ayat 25). Setiap kali dan di mana sahaja kita mengambil Perjamuan Tuhan, kita mengisytiharkan kepercayaan kita terhadap pengorbanan Yesus dan harapan kita pada janji kedatangan-Nya yang kedua kali (ayat 26).
Di mana pun kita berada, kita dapat meraikan iman kita dalam Dia, satu-satunya Penyelamat kita yang telah bangkit dan akan datang kembali, yakni Yesus Kristus dengan penuh keyakinan.