Hari Peringatan ulang tahun ke-75 D-Day (hari operasi khas) pada tahun 2019 telah memberi penghormatan kepada lebih 156,000 askar yang mengambil bahagian dalam serangan laut terbesar dalam sejarah untuk membebaskan Eropah Barat. Dalam doanya yang disiarkan di radio pada 6 Jun 1944, Presiden Amerika Syarikat, Roosevelt meminta perlindungan Tuhan, “Mereka berjuang bukan untuk memenuhi nafsu penaklukan sendiri. Mereka berjuang untuk mengakhiri penaklukan. Mereka berjuang untuk pembebasan.”

Kesediaan untuk menempatkan diri dalam bahaya untuk menghalang kejahatan dan membebaskan orang yang tertindas mengingatkan kita tentang kata-kata Yesus ini: “Jika seseorang mati bagi sahabat-sahabatnya, hal itu menunjukkan bahawa dia orang yang paling mengasihi mereka” (Yohanes 15:13). Kata-kata ini muncul ketika Kristus sedang mengajar para pengikut-Nya untuk saling mengasihi. Dia ingin mereka memahami harga dan kedalaman jenis kasih ini: kasih yang menjadi contoh ketika seseorang rela mengorbankan nyawanya untuk orang lain. Panggilan Yesus untuk mengasihi orang lain dengan berkorban adalah asas dalam perintah-Nya, “hendaklah kamu saling mengasihi” (ayat 17).

Mungkin kita dapat menunjukkan kasih yang berkorban ini dengan memberi masa mempedulikan keperluan anggota keluarga yang sudah tua. Kita dapat mengutamakan keperluan adik-beradik dengan menggantikan mereka melakukan kerja-kerja rumah di sepanjang minggu yang penuh tekanan di sekolah. Kita mungkin boleh mengambil lebih masa untuk menjaga anak yang sakit supaya pasangan kita berehat. Semasa kita mengasihi orang lain dengan sikap berkorban, kita menunjukkan ungkapan kasih yang paling besar.