Galakan adalah seperti oksigen—kita tidak boleh hidup tanpanya. Inilah yang berlaku kepada James Savage yang berusia 9 tahun. Anak itu berenang lebih daripada 3.2 kilometer ulang-alik dari pinggir pantai San Francisco ke Pulau Alcatraz, memecahkan rekod orang termuda untuk mencapai prestasi itu. Tetapi 30 minit setelah berenang, perairan yang sejuk dan berombak itu membuat James ingin berhenti. Namun, sekumpulan pengayuh berseru, “Kamu boleh lakukannya!” Kata-kata itu memberinya dorongan yang diperlukan untuk menyelesaikan matlamatnya.
Ketika perairan kesengsaraan yang berombak dan sejuk membuat orang-orang yang percaya kepada Yesus ingin menyerah, Paulus dan Barnabas mendorong mereka meneruskan perjalanan. Setelah para rasul memberitakan Injil di kota Derbe, mereka “kembali ke Listra, lalu pergi ke Ikonium dan kemudian ke Antiokhia di Pisidia. Mereka menguatkan hati pengikut-pengikut di situ dan menggalakkan mereka supaya tetap percaya kepada Yesus” (Kisah Rasul-Rasul 14:21-22). Mereka menolong orang percaya tetap teguh dalam iman mereka kepada Yesus. Masalah telah melemahkan mereka, tetapi kata-kata dorongan menguatkan tekad mereka untuk hidup bagi Kristus. Dengan kekuatan Tuhan, mereka menyedari bahawa mereka dapat terus bertahan. Akhirnya, Paulus dan Barnabas menolong mereka memahami bahawa mereka “harus mengalami banyak penderitaan supaya kita dapat menikmati Pemerintahan Allah” (ayat 22).
Hidup untuk Yesus boleh membawa kesukaran. Kadang-kadang kita tergoda untuk menyerah. Syukurlah, Yesus, saudara dan saudari seiman dapat memberikan dorongan yang kita perlukan untuk mempertahankan iman. Bersama-sama Dia, kita boleh melakukannya!