“Apakah yang akan kita lakukan dengan semua masa lapang kita?” Soalan itu adalah inti sebuah esei yang diterbitkan pada tahun 1930 oleh ahli ekonomi yang bernama John Maynard Keynes. Dalam esei itu, Keynes mencadangkan bahawa dalam 100 tahun, kemajuan teknologi dan ekonomi akan membawa manusia ke titik yang kita hanya bekerja 3 jam sehari dan 15 jam seminggu.

Sudah lebih daripada 90 tahun sejak Keynes menerbitkan eseinya yang terkenal itu. Tetapi teknologi tidak mencipta lebih banyak masa lapang, sebaliknya menjadikan kita lebih sibuk daripada sebelumnya. Jadual harian kita penuh, sementara masa yang diambil dalam perjalanan dan penyediaan makanan semakin kurang, tetapi kita masih tergesa-gesa.

Satu kejadian yang tidak disangka dalam kehidupan Daud menunjukkan kita bagaimana kita boleh tetap stabil dalam kekacauan hidup. Ketika Daud melarikan diri daripada Raja Saul (yang cuba membunuhnya), dia bertanya kepada raja Moab, “Tolonglah benarkan ibu bapa hamba tinggal dengan tuanku sehingga hamba tahu kehendak Allah untuk hamba” (1 Samuel 22:3). Daud sangat sibuk dengan pelbagai perkara. Dia cuba melarikan diri daripada pemburuan Saul dan membekalkan keperluan keluarganya. Tetapi walaupun tergesa-gesa, dia meluangkan masa untuk menantikan Tuhan.

Apabila kesibukan yang melampau menyelubungi kita, kita boleh mempercayai Dia dapat menjaga kita dalam kedamaian-Nya (Yesaya 26:3). Kata-kata Daud merumuskan keadaan itu dengan baik: “Berharaplah kepada TUHAN! Percayalah kepada-Nya dan jangan putus asa” (Mazmur 27:14).