Saya menghadiri satu majlis hari jadi ahli keluarga saya, dan tuan rumahnya menggabungkan tema “barang-barang kegemaran” ke dalam hiasan, hadiah, dan yang teristimewa—makanan! Anak gadis yang menyambut hari jadinya menyukai stik, salad dan kek Bundt raspberi berperisa coklat putih. Tuan rumah memanggang stik, menyediakan salad bayam, dan memesan kek kegemarannya. Semua makanan kegemaran mengungkapkan, “Saya sayangkanmu.”

Alkitab mengandungi banyak rujukan berkaitan jamuan, pesta dan perayaan, yang menggabungkan tindakan fizikal (makan) dengan menyambut kesetiaan Tuhan. Perayaan merupakan sebahagian sistem penyembahan Tuhan yang dilakukan oleh orang Israel dengan mempersembahkan korban (lihat Bilangan 28:11-31) Misalnya hari Paska, perayaan mingguan, dan perayaan yang diadakan pada setiap bulan. Dalam Mazmur 23:5, Tuhan menyediakan meja dengan makanan dan minuman yang berlimpah dengan belas kasihan dan kasih. Mungkin makanan dan wain yang paling mewah yang pernah dinyatakan adalah ketika Yesus membahagikan roti dan mengambil wain untuk menggambarkan kurnia kematian-Nya di kayu salib demi menyelamatkan kita. Kemudian Dia mencabar kita “berbuatlah demikian untuk mengenang Aku” (Lukas 22:19).

Semasa anda menikmati makanan hari ini, renungkanlah tentang Tuhan yang menciptakan mulut dan perut, serta menawarkan makanan kepada anda sebagai ungkapan kasih-Nya dalam perayaan kesetiaan-Nya. Tuhan kita berpesta dengan orang yang setia, dan memenuhi keperluan kita yang besar dengan pembekalan-Nya yang sempurna. Segalanya mengungkapkan, “Aku mengasihimu.”