Jose, seorang guru pengganti berusia 77 tahun, telah tinggal dalam keretanya selama 8 tahun. Setiap malam, orang tua itu tidur di dalam kereta Ford Thunderbird LX tahun 1997, dengan hati-hati mengawasi bateri kereta yang akan menghidupkan komputernya untuk bekerja pada waktu petang. Jose tidak menggunakan wangnya untuk menyewa rumah, sebaliknya dia mengirimkan wang kepada ramai ahli keluarganya di Mexico yang lebih memerlukan. Setiap awal pagi, salah seorang bekas pelajar guru itu melihat Jose membelek-belek but keretanya. “Saya rasa saya perlu melakukan sesuatu,” katanya. Oleh itu, dia melancarkan kempen pengumpulan dana dan beberapa minggu kemudian, dia memberikan cek kepada Jose untuk membantu dia memiliki tempat tinggal.
Walaupun Alkitab berulang kali mengarahkan kita agar saling memperhatikan, kadang-kadang sukar untuk mengatasi masalah kita sendiri. Nabi Zakharia menegur orang Israel yang tidak menyembah Tuhan atau melayani orang lain, bahkan mereka “makan dan minum, perbuatan itu pun untuk keseronokan mereka sendiri” (Zakharia 7:6). Mereka mengabaikan kehidupan bersama, malah mereka tidak menghiraukan keperluan sesama mereka. Zakharia menjelaskan perintah Tuhan: mereka mesti “berlaku adil, baik hati, dan berbelas kasihan kepada sesama … [dan] jangan tindas balu, anak yatim piatu, orang asing yang menetap di tengah-tengah kamu, atau sesiapa sahaja yang dalam keadaan susah” (ayat 9-10).
Walaupun kita cenderung memenuhi keperluan kita sendiri, tetapi Tuhan juga memanggil kita setia memenuhi keperluan orang lain. Menurut ekonomi Tuhan, pembekalan-Nya lebih daripada cukup untuk semua orang. Dalam rahmat-Nya, Tuhan juga memilih untuk memakai kita supaya memberi sebahagian pembekalan-Nya yang berkelimpahan itu kepada orang lain.