Ketika membaca di dalam kereta api, Mei Ling sibuk menandakan ayat dan mencatat nota di tepi bukunya. Tetapi perbualan antara seorang ibu dan anak yang duduk berdekatan telah membuat dia menghentikan tindakannya. Ibu itu menegur anak perempuannya kerana dia mencoret buku perpustakaannya. Mei Ling segera meletakkan pennya, tidak mahu anak kecil itu mengabaikan kata-kata ibunya dengan meniru perbuatan Mei Ling. Dia tahu anak itu belum memahami bahawa dia tidak boleh merosakkan buku pinjaman, tetapi boleh membuat nota dalam buku milik sendiri.
Tindakan Mei Ling mengingatkan saya kata-kata yang diilhamkan oleh rasul Paulus dalam 1 Korintus 10:23-24:“ ‘Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu.’ Betul, tetapi tidak semuanya berfaedah. ‘Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu’—tetapi tidak semua perkara yang kita lakukan membina kehidupan kita. Janganlah seorang pun lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi lakukanlah sesuatu untuk kepentingan orang lain.”
Orang-orang yang percaya kepada Yesus di gereja awal di Korintus menganggap kebebasan mereka dalam Kristus sebagai peluang untuk mengejar kepentingan peribadi. Tetapi Paulus menulis bahawa mereka harus menganggapnya sebagai peluang untuk memberi manfaat dan membina orang lain. Dia mengajar mereka bahawa kebebasan sejati bukanlah hak untuk bertindak sesuka hati, tetapi kebebasan untuk melakukan apa yang sepatutnya menurut kehendak Tuhan.
Kita mengikut jejak Yesus apabila kita menggunakan kebebasan kita untuk memilih membangun orang lain dan bukannya melayani kepentingan kita sendiri.