Awal pagi merupakan saat yang menyakitkan bagi rakan saya Alma, seorang ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak. Dia berkata, “Ketika semuanya menjadi tenang, kebimbangan muncul. Semasa melakukan kerja-kerja rumah, aku mula memikirkan masalah kewangan, kesihatan dan pelajaran anak-anakku.”

Semasa suaminya meninggalkannya, Alma memikul tanggungjawab untuk membesarkan anak-anaknya sendirian. “Memang susah,” katanya, “tetapi saya tahu Tuhan melihat saya dan keluarga saya. Dia memberi saya kekuatan untuk memegang dua pekerjaan, menyediakan keperluan kami, dan anak-anak saya boleh mengalami bimbingan-Nya setiap hari.”

Hagar, seorang hamba perempuan dari Mesir, memahami apa yang dimaksudkan dilihat oleh Tuhan. Selepas dia menjadi hamil oleh Abram, dia mula memandang rendah akan Sarai (Kejadian 16:4), yang kemudiannya menganiaya dia, menyebabkan Hagar melarikan diri ke padang gurun. Hagar mendapati dirinya sendirian, menghadapi masa hadapan yang kelihatan suram dan tiada harapan untuk dia dan anak dalam kandungannya.

Tetapi itulah saatnya “malaikat TUHAN” (ayat 7) menjumpai Hagar di padang gurun dan berkata, “TUHAN sudah mendengar tangisanmu” (ayat 11). Malaikat itu memberi Hagar petunjuk tentang apa yang harus dilakukan, dan Tuhan meyakinkannya tentang apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Kita belajar salah satu nama Tuhan—El Roi, “Allah Yang Melihat” daripada Hagar (ayat 13, TB).

Seperti Hagar, anda mungkin dalam perjalanan hidup yang sukar—berasa sesat dan sendirian. Tetapi ingatlah bahawa walaupun anda berada di padang gurun, Tuhan melihat anda. Jangkaulah Dia dan percayalah kepada bimbingan-Nya untuk melewati padang gurun.