Pepancut laut (sea squirt) adalah sejenis makhluk yang aneh. Anda boleh melihatnya melekat pada batu dan kerang, wujudnya seperti tiub plastik lembut yang melambai mengikut arus laut. Pepancut laut mengambil nutrien dari air yang mengalir. Makhluk ini melalui kehidupan yang amat pasif berbanding dengan kehidupan masa mudanya yang aktif.
Pepancut laut memulakan kehidupan sebagai telur berbentuk berudu, dengan saraf tunjang primitif dan otak yang membantunya mencari makanan dan mengelakkan bahaya. Semasa peringkat remaja, makhluk ini menghabiskan hari-harinya untuk menjelajahi lautan, tetapi sesuatu berlaku ketika ia mencapai usia dewasa. Pepancut laut akan menetap di batu, dan berhenti meneroka dan bertumbuh. Malah dalam peringkat akhir hidup yang mengerikan, makhluk ini akan menghadamkan otaknya sendiri.
Tiada semangat, tiada pemikiran sendiri, mengalir secara pasif mengikut arus laut. Rasul Petrus menggalakkan kita agar tidak mengikut hidup pepancut laut. Sedangkan menjadi matang bererti kita menerima sifat Tuhan sendiri (2 Petrus 1:4), anda dan saya dipanggil untuk bertumbuh—secara mental dalam pengetahuan kita tentang Kristus (3:18); secara rohani dalam sifat-sifat seperti kebaikan, ketabahan, dan kawalan diri (1:5-7); dan secara praktikal dengan menempuh cara-cara baharu untuk mengasihi, memberi tumpangan dan melayani orang lain melalui kurnia-kurnia kita (1 Petrus 4:7-11). Pertumbuhan seperti itu, kata Petrus, akan membantu kita menjalani kehidupan yang “bermakna dan berguna” (2 Petrus 1:8).
Panggilan untuk bertumbuh sangat penting baik bagi orang yang berusia 70 tahun mahupun remaja. Sifat Tuhan adalah seluas seperti lautan, kita tidak dapat memahami-Nya sepenuhnya. Untuk menerokai sifat-Nya yang tidak berkesudahan, kita harus menempuh pengembaraan rohani yang baharu—belajar, melayani, mengambil risiko. Bertumbuh.