Hari itu musim panas yang hangat dan Mollie, cucu perempuan saya yang berusia empat tahun dan saya berehat seketika selepas bermain bola. Ketika kami duduk di beranda sambil minum air, Mollie memandang ke padang dan berkata, “Lihatlah lopak cahaya matahari ‘tu.” Rupanya sinaran matahari yang menembusi melalui dedaun tebal telah menghasilkan corak cahaya di tengah bayangan gelap.
Lopak cahaya matahari. Bukankah ini gambaran yang indah untuk menemukan harapan dalam hari-hari yang gelap? Ketika kita berada dalam masa-masa yang mencabar—ketika berita baik nampaknya berkurang—kita tidak patut menumpukan perhatian pada bayang-bayang, tetapi kita dapat berfokus pada cahaya.
Cahaya mempunyai nama, iaitu Yesus. Matius mengutip daripada kitab Yesaya untuk menggambarkan terang yang datang ke dunia ketika Yesus tiba: “Bangsa yang hidup dalam kegelapan akan nampak cahaya yang gemilang! Bagi mereka yang hidup di negeri yang dibayangi maut, cahaya itu akan bersinar!” (Matius 4:16; lihat juga Yesaya 9:2). Kesan dosa ada di sekeliling kita selama kita hidup “di negeri yang dibayangi maut.” Tetapi Yesus yang bersinar melalui bayangan itu, adalah cahaya dunia yang agung dan mulia (Yohanes 1:4–5).
Sinar cahaya kasih dan belas kasihan Yesus menembusi bayang-bayang—memberi kita “lopak cahaya matahari” untuk menerangi kehidupan kita dan menyinari hati kita dengan harapan.