Ketika sedang bercuti, saya dan suami berjalan di tepi pantai dan ternampak satu bahagian besar pasir yang dilindungi oleh pagar sementara. Seorang pemuda menerangkan bahawa dia bekerja sepanjang masa dengan sekumpulan sukarelawan yang bertekad untuk melindungi telur-telur penyu di dalam setiap sarangnya. Sejurus selepas anak-anak penyu menetas dan keluar dari sarangnya, kehadiran binatang-binatang lain dan manusia akan memberi ancaman serta mengurangkan peluang makhluk ini untuk hidup. “Walaupun dengan segala usaha kami,” katanya, “ahli-ahli sains menganggarkan bahawa hanya seekor daripada setiap 5000 ekor anak penyu yang dapat mencapai tahap dewasa.” Walau bagaimanapun, angka suram ini tidak mematahkan semangat pemuda tersebut. Semangatnya untuk memberi perlindungan kepada telur-telur penyu ini telah memperdalam keinginan saya untuk menghargai dan melindungi penyu. Sekarang saya memakai rantai leher yang ada loket penyu untuk mengingatkan tentang tanggungjawab saya yang diberikan oleh Tuhan untuk menjaga makhluk-makhluk ciptaan-Nya.

Apabila Tuhan mencipta dunia ini, Dia menyediakan habitat agar setiap makhluk dapat hidup dan membiak (Kejadian 1:20-25). Apabila Tuhan mencipta manusia yang menyerupai-Nya, Tuhan menghendaki kita “menguasai semua ikan, burung, serta binatang lain: binatang jinak, dan binatang liar yang besar mahupun yang kecil” (ayat 26). Dia menolong kita melayani-Nya sebagai seorang pengurus yang bertanggungjawab dengan kewibawaan yang diberikan oleh Tuhan untuk menjaga seluruh alam semesta ciptaan-Nya.