Annie Johnson Flint menjadi lumpuh disebabkan penyakit artritis yang teruk hanya beberapa tahun selepas dia menghadiri sekolah menengah. Dia tidak dapat berjalan dan harus bergantung kepada orang lain untuk menjaga keperluannya. Disebabkan puisi dan lagu rohani gubahannya, dia menerima banyak pelawat, termasuk seorang penolong jemaah wanita yang berasa kecewa tentang pelayanannya sendiri. Apabila dia pulang ke rumah, dia menulis kepada Annie, mempersoalkan mengapa Tuhan membenarkan kesukaran sedemikian menimpa hidupnya.
Annie membalas surat itu dengan menghantar sebuah puisi: “Tuhan tidak menjanjikan langit sentiasa biru, / bunga tidak akan bertaburan di sepanjang hidup kita … ” Dia mengetahui melalui pengalamannya bahawa penderitaan sentiasa berlaku, tetapi Tuhan tidak akan meninggalkan orang yang dikasihi-Nya. Sebaliknya, Dia berjanji untuk memberi “rahmat dalam pencubaan, pertolongan dari syurga, / belas kasihan yang berterusan, kasih abadi.” Anda mungkin mengenali puisi tersebut ialah lagu rohani “What God Hath Promised” (Apa yang dijanjikan Tuhan].
Musa juga menderita dan mengalami persengketaan, tetapi dia tahu bahawa Tuhan ada bersamanya. Sewaktu dia menyerahkan hak kepimpinan Israel kepada Yosua, dia memberitahu orang muda itu supaya yakin dan berani, kerana “Tuhan, Allah kamu akan menyertai kamu” (Ulangan 31:6). Oleh sebab Musa mengetahui orang Israel akan bersemuka dengan musuh yang menggerunkan apabila mereka memasuki dan menakluki tanah yang dijanjikan, dia berkata kepada Yosua, “jangan takut ataupun cemas” (ayat 8).
Pengikut Kristian akan menghadapi kesukaran, tetapi kita mempunyai Roh Kudus untuk menggalakkan kita. Dia tidak akan meninggalkan kita.