Selepas 22 tahun bersama, kadangkala saya tertanya-tanya bagaimana perkahwinan saya dengan Merryn tetap mesra. Saya seorang penulis; manakala Merryn seorang ahli statistik. Saya bekerja menggunakan perkataan; Merryn bekerja menggunakan nombor. Saya menikmati keindahan; dia pula memerlukan fungsian. Kami datang dari dua dunia yang berbeza.

Merryn akan tiba awal ke suatu temu janji; manakala saya selalunya lewat. Saya akan mencuba makanan baru di menu; dia akan membuat pesanan yang sama. Selepas 20 minit di galeri seni, saya seolah-olah baru sampai di situ, sementara Merryn sudah berada di kafe tingkat bawah tertanya-tanya berapa lama lagi dia harus menunggu saya. Kami saling memberi banyak peluang untuk mempelajari kesabaran!

Kami juga mempunyai persamaan―rasa humor yang sama, suka melancong, dan iman yang sama membantu kami berdoa ketika membuat keputusan dan tolak ansur jika perlu. Dengan asas perkongsian ini, perbezaan kita boleh menjadi kelebihan kita. Merryn telah mengajar saya untuk relaks, sementara saya membantu dia lebih berdisiplin. Bekerja di antara perbezaan kami menolong kami menjadi orang yang lebih baik.

Paulus menggunakan perkahwinan sebagai satu metafora untuk jemaah (Efesus 5:21–33), dengan sebab yang baik. Seperti suatu perkahwinan, jemaah akan mengumpulkan pelbagai jenis orang, menghendaki mereka membina kerendahan diri dan kesabaran serta menunjukkan kasih “dengan saling membantu” (4:2). Seperti dalam perkahwinan, mempunyai iman yang sama dan saling melayani juga akan membantu jemaah menjadi satu oleh iman dan menjadi matang (ayat 11-13).

Perbezaan dalam sesuatu hubungan boleh mengakibatkan kekecewaan besar. Tetapi jika diurus dengan baik, ia dapat membantu kita menjadi lebih seperti Kristus.