“Terdapat pelbagai jenis soalan yang boleh ditanya oleh seorang artis muda”, kata seorang penyanyi dan penggubah lagu, Linford Detweiler, salah seorang anggota daripada kumpulan muzik tradisional, Over the Rhine. “Salah satu soalan itu ialah, ‘Apakah yang perlu aku lakukan untuk menjadi terkenal?’” Detweiler memberi amaran bahawa matlamat sebegitu mengakibatkan “tubuh dan minda kita amat mudah terdedah kepada kuasa kebinasaan.” Maka dia dan isterinya telah memilih jalan muzikal yang kurang menyolok yang mereka “terus maju sepanjang perjalanan hidup mereka.”

Nama Yoyada tidak berapa dikenali, namun namanya bererti dedikasi seumur hidup kepada Tuhan. Dia melayani sebagai seorang imam semasa pemerintahan Raja Yoas, yang menjalankan sebahagian besar pemerintahannya dengan baik―syukur kerana adanya Yoyada.

Sewaktu Yoas baru berumur 7 tahun, Yoyada adalah pendukung utama yang menjadikannya seorang raja yang sah (2 Raja-Raja 11:1–16). Tetapi ini bukan satu perampasan kuasa. Pada hari pertabalan Yoas, Yoyada “membuat satu perjanjian dengan TUHAN bahawa [Raja Yoas dan rakyat] akan menjadi umat TUHAN (ayat 17). Dia memegang janjinya, melaksanakan reformasi yang amat diperlukan. “Selama Yoyada hidup, korban untuk menyenangkan hati TUHAN selalu dipersembahkan di Rumah TUHAN” (2 Tawarikh 24:14). Sebagai penghargaan bagi jasanya, Yoyada “dikebumikan di makam diraja di Kota Daud” (ayat 16).

Eugene Peterson berkata, hidup yang memfokuskan Tuhan seperti Yoyada adalah “ketaatan yang berpanjangan di arah tuju yang sama.” Ironinya, ketaatan sebegini akan menonjol meskipun dunia ini cenderung berfokus pada kemasyhuran, kuasa dan kepuasan sendiri.