Impala ialah salah satu jenis keluarga antelop, yang mampu melompat setinggi 3 meter dan sejauh 9 meter. Ini adalah satu keupayaan yang luar biasa, dan pastinya diperlukan untuk meneruskan hidupnya di kawasan liar Afrika. Namun, di kebanyakan kandang impala yang terdapat di zoo, anda akan menemui binatang tersebut dikurung di tempat yang hanya berpagar dinding setinggi lebih kurang 1 meter. Bagaimanakah pagar dinding serendah itu mampu mengurung binatang yang kuat melompat itu? Cara ini berkesan kerana impala tidak akan melompat kecuali melihat tempat mendarat. Dinding tersebut dapat terus mengurung impala kerana binatang ini tidak dapat melihat apa yang di sebalik dinding itu.

Sebagai manusia, kita tidak begitu berbeza dengan impala. Kita mahu mengetahui kesudahan sesuatu situasi sebelum kita maju ke depan. Walau bagaimanapun, kehidupan iman tidak berfungsi sebegitu rupa. Ketika menulis kepada jemaah di Korintus, Paulus mengingatkan mereka, “Hidup kami berdasarkan kepercayaan kepada Kristus, dan bukan berdasarkan apa yang dapat dilihat” (2 Korintus 5:7).

Yesus mengajar kita berdoa, “Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati” (Matius 6:10). Namun ini tidak bermaksud bahawa kita akan mengetahui kehendak Tuhan terlebih dahulu. Kita hidup kerana percaya bermaksud kita mempercayai tujuan baik-Nya walaupun sesetengah tujuan itu diselubungi misteri.

Dalam ketidakpastian hidup, kita boleh mempercayai kasih-Nya yang berkekalan. Tidak kira apa cabaran hidup yang kita hadapi, “Sebab itu juga kami berusaha … supaya kami berkenan kepada-Nya ” (2 Korintus 5:9, TB).