Sorakan kegembiraan isteri saya, Shirley kedengaran dari tingkat bawah tanah rumah kami. Selama berjam-jam dia bergelut dengan satu projek surat berita, dan akhirnya dia bersedia untuk menyiapkannya. Oleh sebab dia risau dan tidak pasti bagaimana untuk meneruskan, dia berdoa memohon pertolongan Tuhan. Dia juga telah menghubungi rakan-rakan Facebook dan tidak lama kemudian projek tersebut telah disiapkan―atas usaha pasukan.
Walaupun projek surat berita ialah perkara yang amat kecil dalam hidup, tidak kira perkara besar atau kecil, semua ini boleh juga membawa kerisauan atau keresahan. Mungkin anda adalah seorang ibu atau bapa yang baru mengharungi fasa penjagaan anak; seorang pelajar yang sedang menghadapi cabaran akademik baharu; seorang yang sedang bersedih kerana kehilangan orang tersayang; seorang yang sedang melalui cabaran di rumah, tempat kerja, atau dalam pelayanan. Ada kalanya kita tidak perlu berasa risau, kerana kita boleh meminta pertolongan Tuhan (Yakobus 4:2).
Paulus mendorong para pengikut Yesus di Filipi dan kita, langkah pertama yang harus diambil ketika meminta pertolongan Tuhan: “Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur” (Filipi 4:6). Apabila hidup kita menjadi rumit, kita memerlukan peringatan seperti salah satu lagu “Yesus Sahabat yang Sejati”: “O keamanan yang kita sering lepaskan, / o kesusahan yang tidak patut kita tanggung, / semuanya kerana kita tidak serahkan, / semuanya kepada Tuhan dalam doa.”
Mungkin ketika kita meminta pertolongan Tuhan, Dia akan membimbing kita bertanya kepada orang yang akan dapat membantu kita.