Zach kelihatan seorang yang lucu, bijak dan disukai ramai. Tetapi dia bergelut dengan kemurungan secara diam-diam. Selepas Zach membunuh diri pada usia 15 tahun, ibunya, Lori, menceritakan tentang dia, “Memang sangat sukar untuk memahami bahawa seseorang sepertinya yang mempunyai begitu banyak keindahan dalam hidupnya akan tiba ke saat ini. Aku memang tidak sangka Zach akan membunuh diri.” Ada seketikanya dalam kesepian Lori meluahkan kedukaannya kepada Tuhan. Dia berkata bahawa kesedihan yang mendalam selepas kejadian itu adalah “satu tahap kedukaan yang berbeza.” Namun dia dan keluarganya belajar untuk bergantung kepada Tuhan dan orang lain demi mendapatkan kekuatan, dan sekarang mereka menggunakan masa mereka untuk mengasihi orang lain yang juga bergelut dengan kemurungan.
Moto Lori telah menjadi “Kasih dan kebergantungan.” Perjanjian Lama memberi idea ini melalui kisah Rut. Naomi kehilangan suami dan kedua-dua anak lelakinya―salah satunya telah mengahwini Rut (Rut 1:3-5). Naomi yang mengalami kepiluan dan kemurungan, menggesa Rut balik ke rumah keluarga ibunya yang dia dapat dijaga. Rut, walaupun dalam kesedihan, ”berpaut” kepada ibu mentuanya dan mengabdikan dirinya untuk tinggal bersama dan menjaga Naomi (ayat 14-17). Maka mereka kembali ke Betlehem, kampung halaman Naomi. Di tempat itu Rut menjadi pendatang asing. Tetapi mereka saling mengasihi dan menyokong, dan Tuhan menyediakan keperluan mereka (2:11–12).
Sewaktu kita dalam kedukaan, kasih Tuhan kekal sama. Kita sentiasa dapat bergantung kepada-Nya seperti kita juga bergantung dan mengasihi orang lain dalam kekuatan-Nya.