Pada tahun 1879, orang yang menyaksikan perbuatan William Beal akan menyangkanya orang gila. Mereka melihat profesor botani ini mengisi 20 biji botol dengan pelbagai jenis benih, kemudian menguburkannya jauh ke dalam tanah. Mereka tidak tahu bahawa Beal sedang melakukan satu eksperimen kebolehhidupan biji benih yang akan menjangkau berabad-abad lamanya. Setiap 20 tahun, sebiji botol akan dikeluarkan, dan biji benih di dalamnya akan ditanam untuk melihat jika benihnya akan bercambah.

Yesus banyak bercakap tentang penanaman benih, Dia sering menyamakan penaburan benih kepada penyebaran “perkhabaran” (Markus 4:15). Dia mengajar bahawa sesetengah benih dirampas Iblis, yang lain ditabur di tempat yang berbatu dan tidak berakar, dan yang lain pula dibelenggu oleh situasi kehidupan di sekeliling sehingga tidak berbuah (ayat 15-19). Apabila kita menyebarkan Berita Baik, bukan kita yang menentukan benih yang mana satu akan hidup. Tugas kita hanyalah menyebarkan Injil―memberitahu orang lain tentang Yesus: “Pergilah ke seluruh dunia dan khabarkanlah Berita Baik daripada Allah kepada seluruh umat manusia” (16:15).

Pada tahun 2021, satu lagi botol Beal telah digali keluar. Biji benih yang ditanam oleh para penyelidik, sesetengahnya telah bercambah dan hidup selama 142 tahun. Sebagaimana Tuhan bekerja melalui kita dan kita berkongsi iman kita kepada orang lain, kita tidak akan tahu masanya perkhabaran yang kita telah sampaikan itu akan berakar. Tetapi kita didorong bahawa penyemaian Berita Baik yang kita telah lakukan mungkin akan diterima oleh seseorang yang akan “menerimanya, lalu berbuah” (4:20), walaupun selepas bertahun-tahun lamanya.