Denmark merupakan salah sebuah negara yang paling bahagia di dunia, menurut Laporan Negara Paling Bahagia (World Happiest Report). Rakyat Denmark mengharungi musim sejuk yang panjang dan gelap dengan mengadakan sesi berkumpul dengan sahabat-sahabat terdekat, berkongsi minuman panas ataupun santapan yang lazat. Perkataan yang sering digunakan oleh mereka untuk mengungkapkan perasaan pada waktu itu adalah hygge (HOO-gah). Hygge menolong mereka mengimbangi impak daripada keadaan cuaca yang jarang menerima sinar matahari, berbanding dengan kawasan lain yang berada di latitud yang lebih bawah. Dengan duduk mengelilingi sebuah meja bersama dengan orang yang tersayang, mereka sudah cukup berpuas hati.
Penulis kitab Ibrani menggalakkan perhimpunan orang percaya dalam komuniti. Dia mengakui bahawa wujudnya waktu-waktu yang penuh dengan cabaran dan kesukaran―cabaran yang jauh lebih signifikan berbanding dengan keadaan cuaca, dan pengikut Kristus perlu bertabah dalam iman mereka. Walaupun Yesus telah memastikan kita diterima oleh Tuhan kerana kita percaya kepada Penyelamat, kita tetap akan menempuhi pelbagai cabaran, perasaan malu, keraguan atau tentangan sengit. Dengan berkumpul bersama-sama, kita akan memperoleh kelebihan dan keistimewaan dengan saling memberikan dorongan. Dengan adanya semangat berkongsi, kita akan mampu “memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik.” Dengan itu, iman kita dikuatkan (Ibrani 10:24).
Perjumpaan dengan sahabat-sahabat tidak semestinya menjamin kita akan mendapat kedudukan dalam “laporan paling bahagia”. Akan tetapi, inilah yang ditawarkan oleh Alkitab agar kita berdiri teguh dalam iman semasa menghadapi kekecewaan dalam kehidupan harian. Inilah alasan yang indah bagi kita untuk mencari dan menghadiri sesebuah gereja! Ataupun membuka rumah kita―dengan mengamalkan sikap kesederhanaan seperti orang Denmark untuk menghiburkan hati antara sesama.