Diiringi oleh perasaan takut dan kesunyian, saya tiba di pusat penjagaan kanser untuk mula menjadi pengasuh ibu saya. Keluarga dan sahabat-sahabat saya yang merupakan penyokong saya selama ini kini berada sejauh lebih kurang 1,200 kilometer. Namun sebelum saya memunggah bagasi, Frank, seorang lelaki yang tersenyum lebar menawarkan pertolongannya. Pada masa kami tiba di tingkat keenam, saya merancang untuk berjumpa dengan Lori, iaitu isteri Frank, yang menjaga Frank sepanjang rawatannya. Tanpa disedari, saya dan pasangan tersebut sejurusnya menjadi seperti keluarga ketika kami bergantung pada Tuhan dan satu sama lain. Kami ketawa, mengeluh, menangis dan berdoa bersama-sama. Walaupun kami harus meninggalkan segala yang telah biasa tahu, hubungan kami dengan Tuhan dan satu sama lain membantu kami berakar umbi dalam kasih-Nya ketika kami saling memberi sokongan.

Apabila Rut membuat komitmen untuk menjaga Naomi, iaitu ibu mentuanya, dia mengabaikan keselesaan dan kebiasaan hidupnya. Rut telah “pergi ke ladang. Dia mengikut para penuai di sana” (Rut 2:3) Ketua pekerja di situ menjelaskan kepada pemilik tanah, Boas bahawa Rut “minta izin untuk mengikut para pekerja … Sejak pagi lagi dia bekerja, dan baharu saja dia berhenti untuk berehat sebentar di pondok” (ayat 7). Rut menemukan sebuah tempat yang selamat dan orang di situ sanggup mengambil berat tentangnya sementara dia menjaga Naomi (ayat 8-9). Tuhan juga menyediakan segalanya untuk Rut dan Naomi melalui kemurahan hati Boas (ayat 14-16).

Keadaan hidup yang di luar jangkaan cenderung membawa kita melampaui zon keselesaan kita. Namun apabila kita mengekalkan hubungan dengan Tuhan dan satu sama lain, Dia akan membantu kita berakar umbi dalam kasih-Nya selagi kita saling menyokong dan mendorong.