Sesuatu telah memakan bunga-bunga saya. Hari yang sebelumnya, bunga saya masih mekar dengan megahnya. Namun sekarang hanya tertinggal dahan-dahan tanpa bunga. Saya memeriksa keseluruhan halaman rumah saya dan menemui sebuah lubang bersaiz sebesar seekor arnab di bawah pagar kayu. Arnab merupakan binatang yang comel, tetapi binatang yang menjengkelkan itu berkebolehan untuk menghapuskan sebuah taman bunga dalam beberapa minit sahaja.
Saya pun tertanya-tanya, adakah kemungkinan wujudnya “penceroboh” yang memangkas kemekaran perwatakan Tuhan dalam hidup saya? Amsal 25:28 mengatakan, “Seorang yang tidak dapat mengawal diri bagaikan kota yang tidak berkubu dan mudah diserang musuh.” Pada zaman dahulu, tembok-tembok melindungi sesebuah kota daripada pencerobohan musuh. Biarpun bukaan yang sekecil pun, ini bermakna keseluruhan kota akan terdedah kepada ancaman serangan musuh.
Kebanyakan ayat dalam kitab Amsal adalah tentang penguasaan diri. “Jangan makan madu banyak-banyak, nanti kamu muntah pula”, kata seorang bijak (25:16). Penguasaan diri merupakan buah Roh yang menjaga kita, melindungi kita daripada ketidaksabaran, kepahitan, ketamakan dan perosak-perosak lain yang dapat menceroboh dan memusnahkan tuaian Tuhan dalam kehidupan kita (rujuk Galatia 5:22-23). Penguasaan diri merupakan pemikiran sihat yang dapat memperhatikan lubang-lubang yang wujud di atas dinding kehidupan kita dan memastikan lubang-lubang tersebut sentiasa kekal tertampal.
Apabila saya memeriksa keseluruhan sudut kehidupan saya, kadang-kadang saya dapat melihat lubang-lubang yang terdedah. Misalnya bahagian hidup saya yang berulang kali mengalah kepada godaan, atau kejadian yang membuat saya kehilangan kesabaran. Oh, begitulah perlunya saya memiliki pemikiran sihat akan penguasaan diri yang dikurniakan oleh Tuhan dalam kehidupan saya, agar saya dilindungi daripada pencerobohan sebegini!