Saya dan isteri saya pernah menginap di sebuah hotel yang indah di tepi laut yang dihias dengan tingkap gelangsar yang besar dan dinding batu yang tebal. Pada suatu tengah hari, ribut telah melanda wilayah tersebut, menyebabkan laut bergelora dan angin ribut menghempas tingkap kami dengan ganas sekali. Namun begitu, kami tetap dalam keadaan yang tenang dan aman. Dinding hotel tersebut begitu teguh, dan asas bangunannya sangat kukuh. Sementara ribut melanda di luar, bilik kami tetap menjadi tempat perlindungan untuk kami.

Perlindungan merupakan tema yang penting dalam Alkitab, bermula dengan Tuhan Sendiri. “Orang miskin dan orang lemah lari kepada-Mu, lalu mendapat perlindungan pada masa kesusahan.” kata Yesaya tentang Tuhan, “Engkau melindungi mereka daripada angin ribut” (Yesaya 25:4). Tambahan lagi, perlindungan merupakan sesuatu yang umat Tuhan pernah dan perlu menyediakan, sama ada melalui kota-kota perlindungan pada zaman purba Israel (Bilangan 35:6) ataupun menunjukkan kasih kepada “orang asing” yang memerlukannya (Ulangan 10:19). Prinsip-prinsip yang sama dapat membimbing kita pada masa kini apabila berhadapan dengan krisis kemanusiaan yang melanda dunia ini. Pada waktu sebegini, kita berdoa bahawa Tuhan Maha Pelindung akan menggunakan kita, umat-Nya, untuk menolong mereka yang tidak berdaya untuk mencari keselamatan.

Ribut yang melanda hotel kami menjadi reda pada keesokan paginya, yang tertinggal hanyalah laut yang tenang dan matahari yang hangat, sehingga burung camar pun kelihatan seperti bersinar di udara. Ini merupakan imej yang saya tetap simpan dalam fikiran apabila saya mengingatkan mereka yang menghadapi bencana alam dan mereka yang melarikan diri daripada rejim-rejim “orang zalim” (Yesaya 25:4): bahawa Tuhan Maha Pelindung akan menguatkan kita untuk menolong mereka mencari keselamatan dan masa hadapan yang lebih cerah.