Pada tahun 1889, sebuah projek pembinaan rumah persendirian yang bercita-cita tinggi telah dimulakan. Pembina di lokasi tersebut dapat menghasilkan sebanyak 32,000 bata sehari. Kerja pembinaan tersebut berterusan sehingga pembinaan “rumah musim panas” milik George Vanderbilt ll diselesaikan—6 tahun kemudian. Hasilnya terbinalah Estet Biltmore di Ashville, Carolina Utara. Sehinggalah hari ini, estet tersebut masih merupakan kediaman persendirian terbesar di Amerika, dengan 250 bilik (termasuk 35 bilik tidur dan 43 bilik air) dan meliputi keluasan tanah sebesar 178,926 kaki persegi (16,226 meter persegi).

Namun, setinggi mana pun cita-cita projek tersebut, ini sama sekali tidak setanding dengan maksud “bangunan” yang diisytiharkan oleh Yesus kepada para pengikut-Nya dalam Matius 16. Selepas Petrus mengesahkan bahawa Yesus adalah “Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Hidup” (ayat 16), Yesus mengisytiharkan, “Oleh itu ketahuilah, engkau Petrus, batu yang kuat. Dengan beralaskan batu inilah, Aku akan membina jemaah-Ku. Bahkan maut pun tidak dapat memusnahkannya!” (ayat 18). Walaupun ahli-ahli teologi masih berdebat tentang identiti “batu” tersebut, tiada persoalan tentang niat Yesus. Dia akan membina jemaah-Nya sehinggalah akhir zaman (Matius 28:19-20), termasuklah orang dari setiap negara dan kumpulan etnik dari seluruh dunia (Wahyu 5:9).

Apakah kos binaan untuk projek ini? Pengorbanan darah Yesus sendiri pada kayu salib (Kisah Rasul-Rasul 20:28). Sebagai ahli-ahli “bangunan” Tuhan (Efesus 2:21), yang dibeli dengan harga yang tidak ternilainya, marilah kita meraikan pengorbanan-Nya yang penuh dengan kasih dan menyertai-Nya dalam misi yang hebat ini.