Meskipun menjalani sebahagian besar hidupnya sebagai seorang kafir, Maharaja Rom, Constantinus Agung (272-337 TM) telah melaksanakan reformasi yang menghentikan penganiayaan yang sistematik terhadap orang Kristian. Dia juga memulakan sistem kalendar yang digunakan pada masa kini, membahagikan keseluruhan sejarah kepada BC (before Christ) atau SM (sebelum Masihi) dan AD (anno Domini, tahun Masihi) atau bererti “tahun Tuhan kita”).
Satu langkah yang diambil agar sistem tersebut diterima oleh seluruh dunia adalah menukarkan label-label itu kepada CE (Era Umum) dan BCE (Sebelum Era Umum). Segelintir orang merujuk perkara tersebut sebagai salah satu contoh dunia ini menolak Tuhan.
Walau bagaimanapun, Tuhan tidak pernah sekali pun hilang dari dunia ini. Tak kiralah apa namanya, kalendar kita masih berpusat pada kebenaran bahawa Yesus hadir di bumi ini.
Dalam Alkitab, kitab Ester boleh dikatakan luar biasa kerana kitab ini tidak mengandungi sebarang sebutan khusus mengenai Tuhan. Namun begitu, cerita yang disampaikan dalam kitab tersebut adalah tentang penyelamatan Tuhan. Setelah dibuang dari tempat asal mereka, orang-orang Yahudi menduduki sebuah negara yang tidak peduli tentang Tuhan. Seorang pegawai kerajaan yang amat berkuasa ingin membunuh semua orang Yahudi (Ester 3:8-9, 12-14). Namun begitu, melalui Ratu Ester dan sepupunya, Mordekhai, Tuhan telah menyelamatkan umat-Nya, sebuah cerita yang masih diraikan sehingga hari ini pada hari perayaan Purim orang Yahudi (9:20-32).
Apa pun tindak balas dunia ini kepada-Nya pada masa kini, Yesus tetap mengubah segalanya. Dia telah memperkenalkan satu era yang luar biasa kepada kita―era yang penuh dengan harapan dan janji sejati. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah memandang sekeliling kita dan kita akan melihat Dia.