Sewaktu saya masih kanak-kanak, kadangkala saya berasa takut untuk pergi ke sekolah. Beberapa orang budak perempuan pernah membuli saya dengan olokan yang kejam. Oleh itu, saya sering mencari perlindungan di dalam perpustakaan, dan membaca buku-buku cerita Kristian. Saya masih ingat pada masa saya pertama kali membaca tentang nama “Yesus”. Entah bagaimana, saya dapat mengetahui bahawa itulah nama seseorang yang mengasihi saya. Pada bulan-bulan yang berikutnya, apabila saya menjejakkan kaki di sekolah dengan membawa perasaan takut dan seksaan yang bakal dihadapi, saya pun berdoa, “Yesus, tolonglah lindungi aku”. Dengan berbuat demikian, saya berasa dikuatkan dan mendapat ketenangan, dengan mengetahui bahawa Dia sedang memperhatikan saya. Dengan berlalunya masa, budak-budak perempuan tersebut pun berasa bosan untuk membuli saya dan akhirnya berhenti mengusik saya.

Bertahun-tahun sudah berlalu, tetapi saya masih menghadapi waktu kesukaran dengan mempercayai nama-Nya. Mempercayai nama-Nya bererti mempercayai bahawa apa yang dikatakan tentang sifat-Nya adalah benar, dan itu membolehkan saya berehat dalam kehadiran-Nya.

Daud juga mengetahui jaminan keselamatan dalam mempercayai nama Tuhan. Semasa dia menulis Mazmur 9, dia sudah pernah mengalami kuasa Tuhan sebagai pemerintah yang adil dan setia. (ayat 7-8, 10, 16 ). Oleh itu, Daud menunjukkan kepercayaannya kepada nama Tuhan sewaktu menghadapi peperangan menentang musuh-musuhnya, bukannya dengan mempercayai kekuatan senjata atau kemahiran ketenteraannya, tetapi dengan mempercayai bahawa pada akhirnya, Tuhan akan membimbingnya ke arah kemenangan. Dia adalah “pernaungan bagi orang yang ditindas” (ayat 10).

Sebagai seorang gadis kecil, saya telah memanggil nama-Nya dan mengalami kuasa nama-Nya yang terbukti. Semoga kita selalu percaya akan nama-Nya—Yesus—nama Peribadi yang mengasihi kita.