Pada 16 Jun 1858, sebagai calon Parti Republikan yang baru dilantik ke Senat Amerika Syarikat yang berasal dari Illinois, Abraham Lincoln menyampaikan ucapannya yang termasyhur, “Keluarga yang Berpecah Belah”. Ucapan tersebut menggariskan tentang ketegangan yang wujud di antara beberapa kumpulan di Amerika mengenai isu perhambaan. Hal ini telah menimbulkan kekecohan dalam kalangan kawan dan musuh Lincoln. Lincoln berasa ini amat penting untuk menggunakan tajuk “Keluarga yang Berpecah Belah” sebagai kiasan dalam ucapannya yang juga digunakan oleh Yesus dalam Matius 12:25 sebab ayat itu diketahui ramai dan senang untuk diluahkan. Lincoln menggunakan metafora tersebut “supaya ia akan memberikan kesan yang mendalam terhadap minda orang ramai dan membangkitkan mereka untuk menghadapi ancaman pada masa itu.”
Walaupun keluarga yang berpecah belah tidak mampu untuk bertahan, ia juga mengimplikasikan makna yang bertentangan―bahawa sebuah keluarga yang tidak berpecah belah mampu bertahan dengan kukuh. Secara prinsipnya, anggota keluarga Tuhan dibentuk untuk berperanan sebegitu (Efesus 2:19). Walaupun terdiri daripada orang-orang yang berlainan latar belakang, kita telah berdamai dengan Tuhan (dan sesama) melalui kematian Yesus pada kayu salib (ayat 14-16). Dengan mengingatkan kenyataan ini (baca Efesus 3), Rasul Paulus menawarkan arahan tersebut kepada semua orang yang percaya kepada Yesus: “Berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh Allah tetap terpelihara” (4:3).
Pada masa kini, apabila ketegangan yang wujud mengancam untuk memecahbelahkan orang yang telah bersatu, misalnya keluarga kita atau antara saudara seiman, Tuhan dapat memberikan hikmat dan kekuatan yang diperlukan untuk kekal bersatu dengan sesama lain melalui pertolongan Roh Kudus. Dengan itu, kita dapat menjadi cahaya di dunia yang gelap dan berpecah belah ini.