Dalam kerjayanya yang masyhur sebagai seorang penulis sukan, Dave Kindred telah membuat liputan terhadap ratusan acara sukan dan kejuaraan besar-besaran, malah dia pernah menulis sebuah autobiografi tentang Muhammad Ali. Oleh sebab semakin bosan dengan persaraannya, maka dia mula menghadiri perlawanan-perlawanan sukan bola keranjang perempuan di sebuah sekolah tempatan. Tidak lama kemudian, Dave mula menulis cerita-cerita tentang setiap perlawanan dan memuat naik cerita-cerita tersebut ke Internet. Apabila ibu Dave dan cucu lelakinya meninggal dunia, malahan isterinya mengalami strok yang melemahkan tubuh badannya, Dave menyedari bahawa berita pasukan yang diliputi olehnya telah memberikannya perasaan komuniti dan tujuan hidup. Dia memerlukan mereka sebagaimana mereka memerlukan Dia. Kindred berkata, “Pasukan ini telah menyelamatkan saya. Kehidupan saya pernah dipenuhi kegelapan … dan merekalah cahaya dalam kehidupan saya.”
Bagaimanakah seorang wartawan legenda mula bergantung pada satu komuniti remaja? Keadaan ini sama dengan seorang rasul legenda bergantung pada persahabatan orang-orang yang ditemuinya dalam perjalanan misi. Adakah anda perhatikan bagaimana rasul Paulus bersalam dengan orang lain dalam penutup suratnya? (Roma 16:3-15). “Sampaikan salamku kepada Andronikus dan Yunias,” tulisnya, “yang sebangsa dengan aku dan yang dipenjarakan bersama-sama aku” (ayat 7). “Sampaikan salamku kepada Ampliatus, sahabat yang aku kasihi dan yang bersatu dengan Tuhan” (ayat 8). Paulus menyebut lebih daripada 25 nama orang, yang kebanyakan nama tidak akan muncul lagi dalam Alkitab. Namun Paulus tetap memerlukan mereka.
Siapakah yang berada dalam komuniti anda? Tempat yang paling sesuai untuk bermula adalah di gereja tempatan anda. Hidup siapakah di sana yang dipenuhi kegelapan? Dengan bimbingan Tuhan, anda boleh menjadi cahaya yang mengarahkan orang kembali kepada Yesus. Pada suatu hari nanti, mereka mungkin akan membalas budi anda.