Apabila drama British Line of Duty berakhir, bilangan penonton yang memecah rekod ingin sekali mengetahui penghujung cerita mengenai penentangan pihak polis terhadap jenayah terancang dalam drama tersebut. Namun ramai penonton berasa kecewa akan pengakhiran drama tersebut kerana ceritanya mengimplikasikan bahawa akhirnya kejahatan tetap akan menang. “Aku mahu orang jahat dihukum,” kata seorang peminat. “Kami mahu pengakhiran drama yang bermoral.”
Ahli sosiologi Peter Berger pernah berkata bahawa setiap kita menginginkan harapan dan keadilan—harapan bahawa pada suatu hari nanti, kejahatan akan diatasi dan pesalah akan dibawa ke muka pengadilan. Dunia yang orang jahat menang bertentangan dengan imej asal dunia ini. Tanpa menyedarinya, semua peminat drama yang kecewa itu telah meluahkan hasrat seluruh manusia, agar dunia ini diperbetulkan semula.
Dalam Doa Bapa, Yesus amat realistik tentang kejahatan. Kejahatan wujud bukan sahaja dalam kalangan kita yang memerlukan pengampunan (Matius 6:12 ), tetapi juga wujud pada skala secara besar-besaran, yang memerlukan penyelamatan (ayat 13). Bagaimanapun, kenyataan ini telah disertakan dengan harapan. Wujudnya satu tempat yang tiada kejahatan—iaitu syurga—dan kerajaan syurgawi itulah yang akan datang ke bumi (ayat 10). Pada suatu hari nanti, keadilan Tuhan akan disempurnakan, “pengakhiran-Nya yang bermoral” akan tiba, dan kejahatan akan dilenyapkan untuk selama-lamanya (Wahyu 21:4).
Apabila orang jahat di dunia nyata menang dan timbulnya perasaan kecewa, setiap kita mesti ingat: “terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga”, sentiasa ada harapan—kerana cerita ini belum lagi berakhir.