Ranjit yang berusaha untuk mengesahkan nilai hidup beberapa orang kanak-kanak yang tinggal di jalanan di Mumbai, India, telah menggubah sebuah lagu dengan menggunakan nama kanak-kanak tersebut. Dengan menghasilkan melodi-melodi yang unik untuk setiap nama, Ranjit mengajar mereka lagu tersebut dengan berharap bahawa kanak-kanak tersebut dapat memperoleh memori-memori yang positif berkaitan dengan nama mereka. Bagi kanak-kanak yang jarang mendengar nama mereka disebut dengan penuh kasih, Ranjit telah memberi mereka hadiah penghormatan.

Nama adalah amat penting dalam Alkitab. Selalunya, nama dapat mencerminkan sifat seseorang atau peranan baharu seseorang. Sebagai contoh, Tuhan menukarkan nama Abram dan Sarai apabila Dia membuat sebuah perjanjian yang penuh kasih dengan mereka, iaitu Dia berjanji bahawa Dia akan menjadi Tuhan mereka manakala mereka akan menjadi umat-Nya. Abram yang bermaksud “bapa mulia” ditukar kepada Abraham, yang membawa maksud “nenek moyang banyak bangsa.” Manakala Sarai, yang bermaksud “puteri” telah ditukar kepada Sara, yang membawa maksud “puteri bagi ramai orang” (Kejadian 17:5,15).

Nama baharu yang diberi oleh Tuhan juga disertakan dengan janji bahawa mereka tidak akan mengalami kemandulan lagi. Apabila Sara melahirkan anak lelaki mereka, mereka berasa sangat gembira dan menamakan anak lelaki itu Ishak, nama yang membawa maksud “dia ketawa”. “Sara berkata, ‘Allah sudah membuat aku tertawa kerana gembira. Setiap orang yang mendengar hal ini akan tertawa bersama-samaku” (Kejadian 21:6).

Kita menunjukkan penghargaan dan penghormatan apabila kita memanggil orang lain dengan nama mereka, serta mengesahkan sifat mereka menurut ciptaan Tuhan. Nama timangan yang baik serta mengesahkan kualiti-kualiti unik seseorang juga mengingatkan bahawa kita diciptakan menurut gambar dan rupa Tuhan.