Kehidupan penulis blog Kevin Lynn berada di ambang kehancuran. Dalam artikelnya baru-baru ini, Kevin mengimbas kembali, “Sebenarnya, saya telah mengacukan pistol ke kepala saya … campur tangan Tuhan yang luar biasa telah masuk ke dalam bilik dan hidup saya. Pada saat itulah, saya menemui Tuhan. Tuhan telah campur tangan dan menghalang Lynn mengambil nyawanya sendiri. Tuhan memenuhi Lynn dengan keyakinan yang kukuh dan mengingatkan dia bahawa kasih-Nya tetap hadir. Selepas kejadian yang menakjubkan tersebut, Lynn telah membuat keputusan untuk berkongsi pengalamannya kepada orang ramai dengan mencipta sebuah pelayanan di Youtube. Melalui saluran itu dia berkongsi kesaksian tentang perubahan hidupnya serta kesaksian-kesaksian orang lain.
Apabila Lazarus, iaitu pengikut dan kawan Yesus meninggal dunia, ramai orang menganggap bahawa Yesus sudah terlambat (Yohanes 11:32). Lazarus sudah berada dalam kuburnya selama empat hari sebelum ketibaan Kristus. Namun Yesus menukarkan detik keperitan ini kepada keajaiban apabila Yesus membangkitkan Lazarus daripada kematian (ayat 38). “Tidakkah Aku berkata kepadamu: Jika kamu percaya, kamu boleh melihat betapa besarnya kuasa Allah?” (ayat 40).
Sebagaimana Yesus membangkitkan Lazarus daripada kematian, Yesus menawarkan kita kehidupan yang baharu melalui-Nya. Dengan mengorbankan diri-Nya di atas kayu salib, Kristus telah membayar hukuman demi segala dosa kita dan menawarkan pengampunan apabila kita menerima rahmat-Nya. Kita telah dibebaskan daripada belenggu dosa kita, diperbaharui oleh kasih-Nya yang kekal abadi, dan diberikan peluang untuk mengubah haluan hidup kita.