“Bolehkah [nama orang] yang sebenar sila berdiri?” Itulah kata-kata yang biasa diucapkan pada akhir rancangan mainan akal To Tell the Truth (Berkata Benar). Empat panel selebriti bertanyakan soalan kepada tiga individu yang mengaku sebagai orang yang sama. Dua daripada mereka sudah tentu adalah penyamar, tetapi terpulang kepada para panel untuk membezakan siapa orang yang sebenarnya. Dalam satu episod, para selebriti cuba meneka “Johnny Marks yang sebenarnya,” yang menulis lirik lagu Rudolph the Red-Nosed Reindeer (lagu Krismas, Rudolph Rusa Berhidung Merah). Para selebriti mendapati bahawa sangat sukar untuk mengetahui siapa orang yang sebenarnya, walaupun telah bertanya soalan-soalan yang baik. Penyamar telah memutarbelitkan kebenaran, khas untuk hiburan televisyen.

Untuk mengenal siapa “guru-guru palsu” adalah amat berbeza daripada telatah rancangan televisyen tersebut, tetapi hal itu juga sama, mencabar dan pasti jauh lebih penting. “Serigala buas” sering datang kepada kita dengan “rupa domba,” dan Yesus memberi amaran bahkan kepada orang yang paling bijak dalam kalangan kita supaya “waspadalah” (Matius 7:15). Untuk mengetahui kebenaran bukan menanyakan banyak soalan yang baik, tetapi memiliki mata yang baik untuk melihat hasil perbuatan mereka, kerana itulah caranya anda akan mengenal mereka (ayat 16-20).

Alkitab menolong kita melihat perbuatan yang baik dan buruk. Perbuatan yang baik adalah seperti “saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati, dan dapat mengawal diri” (Galatia 5:22-23). Kita perlu memberi perhatian yang teliti kerana serigala menggunakan tipu muslihat. Namun sebagai orang percaya yang dipenuhi dengan Roh Kudus, kita melayani Gembala yang baik dan benar, bahawa “kasih Allah dan Allah sendiri ditunjukkan kepada kita” (Yohanes 1:14).