“Beritahu semua kebenaran, tetapi beritahu dari sudut lain,” tulis penyair Emily Dickinson yang mencadangkan bahawa kebenaran dan kemuliaan Tuhan memang “terlalu terang” untuk difahami apatah lagi diterima sekali gus oleh manusia yang lemah, sebaiknya kita menerima serta berkongsi rahmat dan kebenaran Tuhan dari” sudut lain”—lembut, secara tidak langsung. Ini kerana “Kebenaran pasti menyilau secara beransur-ansur / Jika tidak setiap orang akan menjadi buta.”

Rasul Paulus menulis hujah yang sama dalam Efesus 4 ketika dia menggesa semua orang percaya “sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar” serta “Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu” (ayat 2). Menurut Paulus, dasar bagi sifat yang lemah lembut dan rahmat sesama orang percaya ialah kemurahan yang telah ditunjukkan oleh Kristus kepada kita. Ketika Yesus datang ke bumi dan menjadi manusia (ayat 9-10), Dia menyatakan diri-Nya secara senyap dan lembut bagi orang ramai agar mereka dapat percaya dan menerima Dia.

Kemudian Dia terus menunjukkan diri-Nya dengan cara yang lemah lembut dan penuh kasih—mengurniai dan memperkasakan umat-Nya dengan cara yang diperlukan mereka untuk terus bertumbuh dan menjadi matang—“sehingga tubuh Kristus dikuatkan. Dengan demikian kita menjadi satu oleh iman yang sama dan pengertian yang sama tentang Anak Allah. Kita akan menjadi matang dan sempurna seperti Kristus” (ayat 12-13). Semasa kita bertumbuh, kita menjadi lebih kukuh agar tidak lagi mencari harapan di tempat lain (ayat 14), malah lebih yakin mengikuti teladan Yesus yang penuh kasih (ayat 15–16).