“Bobbie the Wonder Dog” (Bobbie, Anjing yang Mengagumkan), ialah seekor anjing jenis kacukan collie yang telah hilang sewaktu bersama dengan keluarga pemiliknya pada percutian musim panas sejauh lebih daripada 3540 km dari rumah. Keluarga itu mencari haiwan kesayangan mereka di merata tempat, tetapi tidak dapat menemuinya dan pulang dengan hampa.

6 bulan kemudian menjelang hujung musim sejuk, Bobbie yang kurus tetapi bertekad gigih muncul di pintu rumah pemiliknya di Silverton, Oregon. Entah bagaimana Bobbie melakukan perjalanan yang begitu jauh dan berbahaya dengan menyeberangi sungai, mengharungi padang pasir, dan mendaki gunung yang dilitupi salji untuk mencari jalan pulang dan kembali kepada mereka yang disayanginya.

Usaha Bobbie untuk mencari jalan pulang ke rumah telah memberi inspirasi dalam penghasilan buku, filem dan mural di tempat asalnya. Kesetiaan Bobbie menyentuh hati, mungkin kerana Tuhan telah meletakkan kerinduan yang jauh lebih dalam di hati kita. Seorang ahli teologi kuno bernama Augustine menggambarkannya begini: “Engkau telah menjadikan kami untuk diri-Mu, hati kami resah tetapi kami mendapat ketenangan dalam Engkau.” Kerinduan yang sama ini telah diungkapkan oleh Daud dalam doanya ketika dia bersembunyi daripada musuh yang mengejarnya di padang gurun Yehuda: “Ya Allah, Engkaulah Allahku, aku rindu akan Engkau. Seperti tanah tandus haus akan air, begitulah aku haus akan Engkau” (Mazmur 63:2).

Daud memuji Tuhan kerana “Kasih-[Nya] lebih berharga daripada hidup” (ayat 4). Tiada yang setanding dengan mengenal Dia! Melalui Yesus, Tuhan telah mencari kita dan membuat jalan untuk kita kembali semula kepada kasih-Nya yang sempurna—walau betapa jauhnya kita pada suatu ketika dahulu. Apabila kita kembali kepada-Nya, kita menemukan rumah sebenar dalam hati kita.