Pada tahun 1972, satu kajian yang dikenali sebagai “ujian marshmallow” telah dibuat untuk menilai keupayaan kanak-kanak menahan diri daripada memuaskan keinginan mereka. Kanak-kanak ditawarkan dengan sebiji gula-gula marshmallow untuk dinikmati, tetapi mereka diberitahu bahawa jika mereka boleh menahan diri daripada memakannya dalam tempoh 10 minit, mereka akan diberi gula-gula marshmallow yang kedua. Hasilnya, kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak itu dapat melakukannya demi ganjaran yang lebih besar. Satu pertiga lagi memakannya dengan gelojoh dalam masa hanya 30 saat!
Kita mungkin sukar mengawal diri apabila ditawarkan dengan sesuatu yang kita inginkan, walaupun kita tahu itu akan memberi lebih manfaat kepada kita pada masa depan jika kita mampu menunggu. Namun Petrus menggesa kita berusaha “menambahkan kepada iman [kita]” dengan banyak sifat baik yang penting, termasuklah penguasaan diri (2 Petrus 1:5-6, TB). Setelah meletakkan iman kepada Yesus, Petrus menggalakkan kita terus bertumbuh dalam kerohanian dengan “mengamalkan hidup yang baik”, “mengetahui kehendak Tuhan”, “bertabah hati”, “hidup salih”, “menyayangi saudara seiman dan mengasihi semua orang sebagai bukti iman kita kepada-Nya” (ayat 5-8).
Walaupun segala kebaikan ini tidak menyebabkan kita menerima perkenanan daripada Tuhan atau tidak menjamin tempat kita di syurga, semua itu menunjukkan—kepada diri kita sendiri dan kepada semua orang—keperluan kita untuk mengawal diri kerana Tuhan memberikan hikmat dan kekuatan untuk berbuat demikian. Perkara yang paling penting adalah Tuhan “sudah mengurniai kita segala sesuatu yang diperlukan untuk hidup salih,” yang menyenangkan hati-Nya, melalui kuasa Roh Kudus (ayat 3).