Stephen adalah seorang pelawak yang sedang meningkat maju, dan seorang “anak yang hilang”. Dia dibesarkan dalam keluarga Kristian, tetapi kemudian dia bergelut dengan keraguan selepas ayah dan dua adik lelakinya maut dalam nahas kapal terbang. Ketika usianya menjejak awal dua puluhan, dia telah kehilangan imannya. Namun dia menemukannya kembali apabila seseorang yang tidak dikenali memberinya sebuah Alkitab Perjanjian Baru bersaiz kecil, pada suatu malam yang sejuk ketika dia berjalan-jalan di sekitar bandar Chicago. Stephen mula membuka halaman Alkitab itu dan terlihat indeks yang mengatakan bahawa mereka yang bergelut dengan kebimbangan harus membaca Matius 6:27-34, Khutbah Yesus di atas Bukit.

Stephen bertaubat pada saat itu juga. Firman Tuhan menyemarakkan api yang membakar dalam hatinya. Dia mengimbas kembali dan berkata, “Saya benar-benar disedarkan dengan serta-merta. Saya berdiri di sudut jalan dalam kesejukan sambil membaca khutbah tersebut. Sejak itu, hidup saya telah berubah sepenuhnya.”

Demikianlah kuasa firman Tuhan. Alkitab tidak seperti buku yang lain, kerana firman Tuhan itu hidup. Kita tidak hanya membaca Alkitab. Alkitab membaca kita. “… lebih tajam daripada pedang bermata dua. Firman itu menusuk sampai ke batas antara jiwa dan roh …; Firman Allah menghakimi fikiran dan niat hati manusia” (Ibrani 4:12).

Firman Tuhan memberikan kuasa yang sangat kuat di dalam planet ini, kuasa yang mengubah dan membawa kita ke arah kematangan rohani. Mari kita membuka dan membacanya dengan suara yang nyaring, meminta Tuhan menyemarakkan hati kita. Dia berjanji bahawa perkataan yang diucapkan-Nya “akan berjaya mencapai tujuan-[Nya], dan melakukan setiap perkara yang [ditentukan-Nya]” (Yesaya 55:11). Hidup kita tidak akan sama lagi.