Robert Emmons, iaitu seorang ahli psikologi, telah membuat satu kajian dengan membahagikan para sukarelawan kepada tiga kumpulan yang masing-masing akan membuat catatan mingguan dalam sebuah jurnal. Kumpulan pertama menulis 5 perkara yang mereka perlu mensyukuri. Kumpulan kedua menerangkan 5 perkara yang menjadi cabaran harian. Kumpulan ketiga menyenaraikan 5 peristiwa yang telah memberi kesan kecil kepada mereka. Hasil kajian menunjukkan bahawa mereka yang berada dalam kumpulan pertama, mengalami hidup dengan lebih baik secara keseluruhan, lebih optimistik tentang masa depan, dan kurang mengalami masalah kesihatan.

Sikap yang sentiasa bersyukur dapat mengubah cara kita menganggap kehidupan dan membuat kita lebih bahagia.

Alkitab telah lama menekankan tentang kepentingan mengucap syukur kepada Tuhan, kerana itu boleh mengingatkan kita tentang sifat-Nya. Mazmur berulang kali memanggil umat Tuhan untuk mengucap syukur kepada-Nya, kerana “TUHAN itu baik; Dia tetap mengasihi umat-Nya dan setia kepada mereka selama-lamanya” (Mazmur 100:5) dan “bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya” (Mazmur 107:8, 15, 21, 31).

Ketika rasul Paulus menulis bahagian penutup suratnya yang ditujukan kepada jemaah di Filipi—surat itu semacam ucapan terima kasih kepada jemaah yang telah menyokongnya—dia mengaitkan doa kesyukuran dengan kedamaian daripada Tuhan yang “tidak mungkin difahami oleh manusia” (Filipi 4:7). Apabila kita fokus kepada Tuhan dan kebaikan-Nya, kita dapat berdoa tanpa kebimbangan dalam setiap keadaan, dengan mengucap syukur. Ucapan syukur memberi kita kesejahteraan yang secara unik menjaga hati dan fikiran kita, serta mengubah cara kita melihat kehidupan. Hati yang penuh kesyukuran memupuk semangat kegembiraan.