Sewaktu cik Glenda memasuki ruang ibadah gereja, kegembiraannya dapat dirasai memenuhi ruangan itu. Dia baru sahaja pulih daripada prosedur rawatan perubatan yang sukar. Semasa dia menghampiri dan menyapa saya seperti biasa selepas ibadah, saya bersyukur kepada Tuhan untuk masa yang dia telah meluangkan bersama-sama saya selama bertahun-tahun. Dia menangis bersama dengan saya, membetulkan saya dengan lemah-lembut, dan memberikan galakan. Dia juga meminta maaf jika dia telah menyakiti perasaan saya. Walau apa keadaan pun, dia sentiasa mengajak saya berkongsi pergelutan saya secara jujur dan mengingatkan saya bahawa kita mempunyai banyak alasan untuk memuji Tuhan.
Mama Glenda, seperti yang dia mahu saya memanggilnya, memeluk saya dengan lembut. “Hai, sayang,” katanya. Kami menikmati perbualan singkat dan berdoa bersama-sama. Kemudian dia pergi—bersenandung dan menyanyi seperti biasa, mencari orang lain untuk memberkati mereka.
Dalam Mazmur 64, Daud dengan berani mendekati Tuhan dalam keluhan dan kebimbangannya (ayat 2). Dia menyuarakan kekecewaannya tentang kejahatan di sekelilingnya (ayat 3-7). Dia tidak hilang keyakinan terhadap kuasa Tuhan atau kebolehpercayaan dalam janji-janji-Nya (ayat 8-10). Dia tahu bahawa suatu hari nanti, “Semua orang baik akan bergirang kerana perbuatan TUHAN; mereka akan mendapat perlindungan daripada-Nya; semua orang yang tulus akan memuji Dia” (ayat 11).
Semasa kita menunggu kedatangan Yesus, kita akan menghadapi masa-masa yang sukar. Namun kita akan sentiasa mempunyai sebab untuk bergirang dalam setiap hari yang diciptakan Tuhan.