Montaj rakaman video yang berlangsung selama 5 minit mengenai kemalangan kecil yang melibatkan salji merupakan bahagian utama yang ditayangkan dalam satu episod rancangan TV. Rakaman video yang dirakam sendiri ini termasuklah orang yang sedang bermain ski dari atas bumbung rumah, merempuh beberapa objek semasa memasang tiub, dan tergelincir di atas ais telah menjadi bahan ketawa serta mendapat tepukan para penonton di studio dan di rumah. Gelak ketawa para penonton kedengaran semakin kuat apabila menyaksikan orang yang tercedera itu memang padan menerima akibat kerana tindakan bodoh mereka sendiri.

Rakaman video yang lucu bukanlah perkara yang buruk, tetapi itu boleh mendedahkan sesuatu tentang diri kita: kita cenderung mentertawakan atau mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain. Salah satu kisah seperti itu dicatatkan dalam kitab Obaja tentang dua negara yang bersaing, Israel dan Edom. Apabila Tuhan melihat bahawa Israel patut menerima hukuman kerana dosa mereka, Edom bersukacita. Orang Edom mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang Israel, merampas harta mereka, mengadang jalan ketika mereka melarikan diri, dan menyerahkan mereka kepada musuh (Obaja 1:13-14). Tuhan memberi amaran kepada Edom melalui nabi Obaja: “Kamu tidak sepatutnya bersukacita kerana malapetaka yang menimpa saudara kamu,” kerana “sudah hampir harinya, apabila Aku, TUHAN menghakimi semua bangsa” (ayat 12, 15).

Apabila kita melihat cabaran atau penderitaan yang dihadapi oleh orang lain, walaupun itu mungkin adalah akibat daripada perbuatan mereka sendiri, kita mesti memilih untuk berbelas kasihan dan bukan keangkuhan. Kita tidak patut menghakimi orang lain kerana hanya Tuhan yang boleh melakukannya. Tuhan yang memerintah dunia ini (ayat 21)—hanya Dia yang memegang kuasa keadilan dan belas kasihan

.