Drew dipenjarakan selama 2 tahun kerana dia melayani Yesus. Dia membaca tentang kisah para mubaligh yang mengalami sukacita yang berterusan sepanjang pemenjaraan mereka, tetapi dia mengaku bahawa itu bukan pengalamannya. Dia memberitahu isterinya bahawa Tuhan telah memilih orang yang salah untuk menderita bagi-Nya. Isterinya menjawab, “Tidak. Aku fikir mungkin Dia telah memilih orang yang tepat. Ini bukan kebetulan.”
Drew mungkin dapat dikaitkan dengan nabi Yeremia, yang telah melayani Tuhan dengan setia untuk memberi amaran kepada Yehuda bahawa Tuhan akan menghukum mereka kerana dosa mereka. Namun penghakiman Tuhan belum terjadi, para pemimpin Yehuda bahkan memukul dan memasungkan dia. Yeremia bersungut kepada Tuhan: “Ya TUHAN, Engkau telah menipu aku” (ayat 7). Nabi Yeremia percaya bahawa Tuhan telah gagal bertindak. Firman Tuhan hanya menyebabkan “[dia] diejek dan dihina setiap waktu” (ayat 8). “Terkutuklah hari kelahiranku!” kata Yeremia. “Mengapa aku dilahirkan? Adakah hanya untuk menderita dan mengalami kesusahan? Adakah hidupku akan berlalu semata-mata untuk mendapat malu?” (ayat 14, 18).
Akhirnya Drew dibebaskan, tetapi melalui pengalaman pahitnya, dia mula memahami bahawa mungkin Tuhan memilih dia—seperti Dia memilih Yeremia—kerana dia lemah. Jika dia dan Yeremia adalah kuat secara semula jadi, mereka mungkin telah menerima pujian atas kejayaan mereka. Tetapi jika mereka adalah lemah secara semula jadi, maka segala kemuliaan bagi ketabahan mereka akan terarah kepada Yesus (1 Korintus 1:26-31). Kelemahannya menjadikan dia orang yang tepat sebagai wadah Yesus.