Olive melihat rakan lelakinya memasukkan peralatan pergigian miliknya ke dalam kereta. Rakan ini yang juga seorang doktor gigi telah membeli bekalan baharu daripada Olive. Selama bertahun-tahun, Olive mempunyai impian untuk membuka sebuah klinik pergigian. Namun apabila anak lelakinya, Kyle dilahirkan dengan palsi serebrum (gangguan pada koordinasi dan pergerakan otot), dia sedar bahawa dia harus berhenti bekerja untuk menjaganya.

Rakan saya berkata, “Jika saya mempunyai sejuta hayat, saya pasti akan membuat keputusan yang sama.” “Tetapi melepaskan kerjaya pergigian saya bukannya senang. Impian saya sudah berakhir.”

Kita sering menghadapi kesulitan yang tidak dapat kita fahami. Bagi Olive, ia adalah penderitaan batin akibat masalah kesihatan anaknya yang tidak diduga, dan dia terpaksa melepaskan cita-cita sendiri. Bagi Naomi, penderitaan batinnya adalah kehilangan seluruh ahli keluarganya. Dalam Rut 1:21 dia meratap, “TUHAN Yang Maha Kuasa telah menghukum saya dengan banyak penderitaan.”

Tetapi kisah Naomi adalah lebih daripada itu. Tuhan tidak meninggalkannya; Dia membawa pemulihan dengan memberinya seorang cucu, iaitu Obed (Rut 4:17). Obed bukan sahaja akan meneruskan nama suami dan anak Naomi, tetapi melalui dia, Naomi menjadi saudara kepada nenek moyang (Boas) Yesus sendiri (Matius 1:5, 16).

Tuhan menebus penderitaan Naomi. Dia juga menebus penderitaan Olive dengan membantunya memulakan pelayanan untuk kanak-kanak yang mengalami masalah sistem saraf. Kita mungkin mengalami penderitaan batin, tetapi kita boleh percaya bahawa selagi kita mentaati dan mengikut Tuhan, Dia boleh menebus penderitaan kita. Dalam kasih dan hikmat-Nya, Dia boleh menjadikan semuanya baik dalam apa jua keadaan.