Setelah tiga dekad, Feng Lulu disatukan semula dengan keluarga kandungnya. Semasa kecil, dia diculik ketika bermain di luar rumahnya, tetapi dengan bantuan Persekutuan Wanita Kebangsaan China, dia berjaya ditemui. Feng Lulu tidak berapa mengingati kejadian yang berlaku kerana ketika itu dia masih kecil. Dia membesar dengan berfikir bahawa dia telah dijual oleh ibu bapanya kerana mereka tidak mampu untuk menjaganya, oleh itu banyak persoalan dan perasaan yang timbul apabila kebenaran ini diketahui.
Apabila Yusuf bertemu semula dengan saudara-saudaranya, kemungkinan besar dia mengalami beberapa emosi yang kompleks. Ketika dia masih muda, dia telah dijual sebagai hamba di Mesir oleh saudara-saudaranya. Meskipun ada serangkaian pencubaan yang menyakitkan, Tuhan mengangkat Yusuf ke kedudukan pemerintahan yang tinggi. Apabila saudara-saudaranya datang ke Mesir untuk membeli bekalan makanan semasa kebuluran menimpa, mereka tidak menyedari pun Yusuf yang memberikan makanan kepada mereka.
Yusuf mengakui bahawa Tuhan telah menebus kesalahan mereka, dengan berkata bahawa Tuhan menggunakan kejadian ini untuk “menyelamatkan kamu dengan cara yang menakjubkan ini” (Kejadian 45:7). Namun Yusuf tidak mengubah kenyataan tentang tindakan mereka pada masa lampau yang telah menyakiti dia—dia memberi gambaran secara tepat bahawa mereka telah “menjual [dirinya]” (ayat 5).
Kadangkala kita cuba meletakkan perspektif yang sangat optimistik pada situasi yang sukar, menumpukan perhatian kepada kebaikan Tuhan dalam suatu situasi tanpa mengakui sengsara akibat pergelutan emosi yang telah dialami. Kita harus berhati-hati agar tidak mendefinisikan suatu kesalahan lampau sebagai suatu kebaikan, hanya kerana Tuhan telah menebusnya: kita boleh percaya bahawa Tuhan akan membawa kebaikan daripada suatu keadaan, sementara mengakui penderitaan yang timbul oleh kesalahan itu. Kedua-duanya benar.