Amanda bekerja sebagai jururawat pelawat yang berkhidmat secara giliran di beberapa rumah asuhan—sering kali membawa anak perempuannya, Ruby yang berumur 11 tahun ke tempat kerja. Untuk turut melakukan sesuatu, Ruby bertanya kepada penghuni di situ, “Sekiranya anda boleh memperoleh apa sahaja tiga benda, apa yang anda mahukan?” dan mencatatkan jawapan mereka di dalam buku notanya. Apa yang mengejutkan, kebanyakan keinginan mereka adalah perkara-perkara yang kecil—sosej, pai coklat, keju dan buah avokado. Oleh itu, Ruby menubuhkan GoFundMe untuk membantu dia memenuhi keinginan mereka yang sederhana. Apabila dia menghantar barang-barang kepada penghuni, dia juga akan memberikan pelukan. Ruby berkata, “Semua ini membuat kamu gembira, kamu betul-betul gembira!”
Apabila kita menunjukkan belas kasihan dan kebaikan seperti Ruby, kita mencerminkan imej Tuhan yang “pengasih dan penyayang … dan penuh dengan kasih” (Mazmur 145:8). Oleh itu rasul Paulus menggesa kita sebagai umat Tuhan, kita patut “berbelas kasihan, baik hati, rendah hati, lemah lembut, dan bersabar” (Kolose 3:12). Oleh sebab Tuhan telah menunjukkan belas kasihan yang besar kepada kita, kita secara semula jadi rindu untuk berkongsi belas kasihan-Nya dengan yang lain. Ketika kita berusaha melakukannya, nilai-nilai murni yang disebutkan akan menjadi sifat kita.
Paulus seterusnya memberitahu kita: “kamu harus saling mengasihi, kerana kasih menyatupadukan kamu dengan sempurna” (ayat 14). Dia juga mengingatkan kita bahawa segala sesuatu yang kita lakukan “haruslah dilakukan demi nama Tuhan Yesus” (ayat 17). Kita harus ingat bahawa semua yang baik datang daripada Tuhan. Apabila kita berlaku baik terhadap orang lain, roh kita menjadi gembira.