Pada tahun 1917, Frederick Lehman, seorang peniaga dari California yang dilanda masalah kewangan, telah menuliskan lirik lagu pujian “Kasih Tuhan” (The Love of God). Inspirasinya membawanya dengan cepat menulis dua rangkap pertama, tetapi dia tersekat pada rangkap ketiga. Dia teringat penemuan sebuah puisi yang ditulis pada dinding penjara bertahun-tahun dahulu. Seorang banduan telah mencalarkan puisi itu pada dinding batu di penjara, menyatakan kesedaran yang mendalam tentang kasih Tuhan. Puisi itu kebetulan mempunyai irama yang sama dengan lagu pujian yang ditulisnya. Oleh itu dia menjadikan puisi itu sebagai rangkap ketiga dalam lagu pujiannya.
Ada kalanya kita mengalami rintangan yang sukar seperti Lehman dan penyair di dalam sel penjara. Pada masa kekecewaan, kita sebaiknya mengingati kata-kata sang pemazmur Daud dan “mendapat perlindungan di bawah naungan sayap [Tuhan]” (Mazmur 57:2). Tidak apa-apa untuk berseru kepada Tuhan tentang masalah kita (ayat 3), bercakap dengan-Nya tentang kesukaran semasa kita dan ketakutan yang kita hadapi apabila“dikepung oleh musuh” (ayat 5). Lama-kelamaan kita akan teringat tentang penyediaan Tuhan yang nyata pada masa lalu, dan berkata bersama-sama Daud, “aku hendak menyanyi dan memuji Engkau! … Aku akan membangunkan matahari” (ayat 8-9).
Lagu pujian ini mengisytiharkan “Kasih Tuhan jauh lebih besar,” seterusnya diikuti “melebihi bintang yang tertinggi.” Kita harus menyedari betapa besarnya kasih Tuhan ketika kita berada dalam keadaan yang paling memerlukan—sememangnya “sampai ke awan yang tinggi” (ayat 11).