Sejak umur lapan tahun, Lisa bergelut dengan kegagapan dan menjadi takut dengan situasi sosial yang memerlukan dia bercakap dengan orang. Tetapi kemudian, selepas berjumpa dengan terapi pertuturan, cabarannya diatasi. Lisa memutuskan untuk menggunakan suaranya untuk membantu orang lain. Dia mula menawarkan diri sebagai kaunselor secara sukarela bagi bahagian tekanan emosi melalui talian hotline.

Musa juga bergelut untuk bercakap agar orang Israel dapat dipimpin keluar daripada tawanan. Tuhan meminta dia bercakap dengan Firaun, tetapi Musa membantah kerana dia berasa tidak yakin dengan kemampuannya untuk bercakap (Keluaran 4:10). Tuhan mencabar dia, “Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia?” Kemudian Tuhan meyakinkan Musa dengan berkata, “Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan.” (ayat 11-12).

Respons Tuhan mengingatkan kita bahawa Dia boleh bekerja dengan luar biasa melalui kita walaupun dalam keterbatasan kita. Tetapi, walaupun kita mengetahui ini dalam hati, agak sukar bagi kita menjalaninya. Musa terus bergelut dan memohon Tuhan menghantar orang lain (ayat 13). Maka Tuhan mengizinkan saudara Musa, Harun untuk menemaninya (ayat 14).

Setiap kita mempunyai suara yang boleh membantu orang lain. Kita mungkin berasa takut. Kita mungkin berasa tidak mampu. Kita mungkin berasa tidak mempunyai kata-kata yang betul.

Tuhan tahu perasaan kita. Dia boleh menyediakan perkataan dan semua yang kita perlukan untuk melayani yang lain dan menyelesaikan pekerjaan-Nya.