Seorang lelaki dan beberapa rakannya menyelinap ke pintu pagar pusat peranginan ski yang memberi amaran tentang runtuhan salji, tetapi mereka terus meluncur. Pada peluncuran turun pusingan kedua, seseorang berteriak, “Awas!” Namun lelaki itu tidak dapat melarikan diri dan maut dalam runtuhan salji. Ada orang mengkritiknya, mengatakan dia peluncur baru. Tetapi dia bukan orang baru; dia merupakan pemandu di kawasan peluncuran salji yang berpengalaman. Seorang penyelidik mengatakan bahawa pemain ski dan peluncur papan salji yang menjalani paling banyak latihan runtuhan salji lebih cenderung membuat pertimbangan yang salah. “[Peluncur papan salji] mati kerana dia terjerumus dalam kelalaian.”

Ketika orang Israel bersiap sedia untuk pergi ke tanah perjanjian, Tuhan mahu umat-Nya berjaga-jaga—berhati-hati dan berwaspada. Oleh itu, Dia memerintah mereka mematuhi semua perintah Tuhan (Ulangan 4:1-2) dan mengingati penghakiman-Nya yang lalu terhadap orang-orang yang tidak taat (ayat 3-4). Mereka perlu “berjaga-jaga” untuk memeriksa diri mereka dan mengawasi hati mereka (ayat 9). Hal ini akan membantu mereka agar tidak lalai akan bahaya rohani dari luar dan kemalasan rohani dalam hati.

Kita sangat mudah menjadi lalai dan jatuh dalam sikap tidak peduli dan penipuan diri. Namun Tuhan boleh memberi kita kekuatan untuk elak daripada terjatuh dalam kehidupan dan dengan rahmat-Nya, mengampuni kita ketika kita melakukannya. Dengan mengikut Tuhan dan beristirahat dalam hikmat dan penyediaan-Nya, kita boleh berwaspada dan membuat keputusan yang baik!