Ibu saya seolah-olah boleh merasakan masalah walaupun berada beberapa kilometer jauhnya. Pernah sekali, setelah saya melalui hari yang sukar di sekolah, saya cuba untuk menyembunyikan kekecewaan saya dengan berharap tiada seorang pun akan mengesannya. “Apa masalahnya?” tanya ibu. Kemudian dia berkata lagi, “Sebelum kamu memberitahu aku bahawa semuanya baik, ingatlah aku ini ibumu. Aku melahirkanmu, dan aku mengenalmu lebih baik daripada kamu mengenal dirimu sendiri.” Dengan konsisten ibu saya mengingatkan saya tentang kesedarannya yang mendalam tentang siapa diri saya, sebab itu dia boleh berada di sisi saya pada saat-saat saya sangat memerlukannya.

Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita dijaga oleh Tuhan yang mengenal kita secara intim. Pemazmur Daud memuji Tuhan atas perhatian-Nya terhadap kehidupan anak-anak-Nya dengan mengatakan “Ya TUHAN, Engkau telah menyelami hatiku, dan Engkau mengenal aku. Engkau mengetahui segala perbuatanku; dari jauh Engkau memahami fikiranku” (Mazmur 139:1-2). Oleh sebab Tuhan mengetahui siapa diri kita—setiap fikiran, hasrat, dan tindakan kita—tidak ada tempat yang dapat kita tuju apabila kita berada di luar batas-batas kasih dan perhatian-Nya yang melimpah (ayat 7-12). Seperti Daud menulis, “Jika aku … tinggal di hujung barat yang paling jauh, di sana juga Engkau akan memimpin aku” (ayat 9-10). Kita dapat menemukan sukacita dengan mengetahui bahawa di mana pun kita berada dalam kehidupan ini, ketika kita berseru kepada Tuhan dalam doa, Dia akan mengurniakan kasih, hikmat dan bimbingan yang kita perlukan.